Cara Tanam Salad Hidroponik di Rumah!
Salad atau selada (lettuce) adalah antara tanaman mudah tanam terutamanya menggunakan kaedah secara hidroponik. Kali ini saya akan tunjukkan tutorial langkah demi langkah menanam salad hidroponik.
Hampir semua bahan dan peralatan yang saya gunakan untuk tanam salad ini mudah didapati di kedai ECO (RM2.10) dan Mr. DIY.
1 – Penyediaan Bahan dan Peralatan
Bahan:
- Biji benih salad
- Span cuci kereta
- Bekas
- Air
- Cawan hidroponik
- Baja AB hidroponik
Peralatan:
- Pisau
- Penyembur tangan tekanan tinggi
2 – Potong span
Potong span kepada beberapa bahagian agar dapat dimasukkan ke dalam cawan hidroponik

3 – Masukkan span ke dalam cawan hidroponik
Basahkan dahulu span sebelum memasukkan semua span yang telah dipotong tadi ke dalam cawan hidroponik

4 – Susun cawan hidroponik
Susun semua cawan hidroponik yang berisi span ke dalam bekas

5 – Isi sedikit air ke dalam bekas
Setelah selesai susun, isikan sedikit air sekitar 2-3 cm tinggi dari aras bawah bekas. Ini agar span dapat menyerap air sepanjang proses biji benih untuk bercambah.

6 – Tabur biji benih salad
Tabur dua hingga tiga biji benih salad di atas span tadi. Jika semua biji benih bercambah nanti, kita boleh buat penjarangan iaitu memotong bibit yang tidak sihat dan tinggalkan yang sihat dan kuat sahaja.

7 – Sembur sampai basah
Setelah biji benih berada di atas span teruskan dengan menyembur biji benih dengan penyembur tangan bertekanan tinggi sehingga semua benih basah.

8 – Tutup bekas
Tutup bekas dengan bekas lain agar air tidak mudah tersejat. Letak bekas di tempat redup. Biasanya sekitar dua hingga tiga hari biji benih sudah mula bercambah.

9 – Isi bekas takungan dengan baja AB
Isi bekas takungan dengan baja AB. Sukat kepekatan baja AB dalam bekas menggunakan meter EC. Sukatan yang sesuai untuk salad adalah 1.5 EC.

10 – Masukkan bibit ke dalam bekas
Apabila biji benih bercambah, boleh terus pindahkan bibit ke dalam bekas takungan hidroponik.
Tips: Jika air berkurangan sehingga 1/4 dari bekas, boleh la tambah air baja lagi.

11 – Masa Menuai salad
Kita boleh menuai salad setelah tiga hingga empat minggu selepas pindah atau sekitar 20 hari hingga 30 hari selepas pindah.


No comments:
Post a Comment